Web Hosting Mampu Milik Rakyat Malaysia



Pusat hiburan haram sejak zaman Khir Toyo menjadi MB

Posted under ARTIKEL, HEBAHAN, SUARA RAKYAT by anakraja on Friday 31 July 2009 at 6:04 pm

PAS negeri Selangor menegaskan kewujudan pusat hiburan, judi dan spa haram yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo berjumlah sebanyak 4,000 buah telah wujud sejak BN memerintah Selangor.

Penegasan tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Perhubungan PAS, Khairuddin Othman ekoran dakwaan Khir sejak Selangor ditadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat pusat hiburan haram wujud berleluasa.

Beliau turut mendesak Khir Toyo supaya mengakui secara terbuka bahawa semua lesen-lesen perjudian, spa dan pusat hiburan diluluskan ketika kerajaan BN mentadbir kerana selama setahun empat bulan kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor tidak pernah meluluskan lesen baru untuk premis tersebut.

PAS negeri Selangor mendakwa Khir tidak pernah serius dalam menangani kes-kes kewujudan pusat hiburan haram ketika beliau memegang tampuk pemerintahan negeri Selangor.

Katanya, kenapa baru sekarang Khir mendedahkan tentang masalah rumah urut sedangkan ketika beliau menjadi Menteri Besar dahulu rumah urut beroperasi tanpa kawalan dan pemantauan daripadanya.

Justeru, PAS negeri Selangor berpendapat dakwaan Khir itu tidak berasas sebaliknya ia merupakan usaha terdesak beliau untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu penyelewengan yang dilakukan.

“Penyelewengan beliau seperti isu banglo bernilai RM24juta, isu pemindahan dana Balkis RM9.9 juta dan sebagainya,” tegas beliau.

Sehubungan itu beliau menegaskan Khir Toyo perlu menjawab terlebih dahulu semua dakwaan terhadapnya sebelum membuat pelbagai fitnah terhadap kerajaan Pakatan Rakyat.

“Khir Toyo boleh mengelabui mata rakyat tetapi bukan kepada kami rakyat Selangor,” tegasnya.


Pakatan Rakyat desak Ketua Polis Negara dipecat!

Posted under BERITA, HEBAHAN, SUARA RAKYAT, UMUM by anakraja on Wednesday 29 July 2009 at 10:34 pm

KUALA LUMPUR, (Hrkh) - Pakatan Rakyat semalam sebulat suara mendesak agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak dilanjutkan lagi khidmatnya dan perlu digantikan dengan KPN yang lebih berwibawa.

ImageMenurut Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, desakan itu dibuat selepas dalam mesyuarat Pakatan Rakyat yang dihadiri seluruh kepimpinan parti DAP, PAS dan KeADILan menyetujui bahawa Musa Hassan tidak berjaya mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya bersama wartawan di Bilik Jawatankuasa 1, Bangunan Parlimen pada petang semalam.

Turut hadir ialah, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden KeADIlan, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib-naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayob dan Dato’ Mahfuz Omar; Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali, Dr Lee Boon Chye dan Sivarasa Rasiah; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamarudin Jaffar; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh; Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin; Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan dan ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin selain beberapa pimpinan PR lagi.

Menurut Anwar, masalah jenayah dan rasuah masih terus membelenggu negara hingga persepsi negara lain buruk terhadap Malaysia.

Tambahnya, Pakatan Rakyat akan meminta satu pertemuan diadakan dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berhubung hal tersebut, dan meminta Perdana Menteri mempertimbangkan tuntutan itu.

Musa juga dakwa Anwar, terbabit dengan beberapa skandal yang hingga kini masih disangsikan beberapa siasatan yang tiada keputusan ke atasnya.

Pakatan Rakyat juga melihat, kegagalan Musa mengatasi kemelut jenayah yang berpanjangan dan semakin parah adalah satu kegagalan besar membuatkan rakyat kini semakin bimbang dengan masalah jenayah, katanya.

Sementara itu, Pakatan Rakyat turut memutuskan beberapa resolusi antaranya; Musa tidak sepatutnya memohon perkhidmatannya sebagai Ketua Polis Negara disambung dua tahun lagi; pelantikan ketua polis negara yang baru; Perdana Menteri patut memasukkan Indeks Prestasi (KPI) bagi pencegahan jenayah pelbagai kategori yang dicadangkan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Polis Dzaiddin dan Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).


Chua: PM M’sia terlalu berkuasa

Posted under ARTIKEL, HEBAHAN, SUARA RAKYAT, UMUM by anakraja on Wednesday 29 July 2009 at 1:15 pm
Bekas menteri kesihatan, Datuk Chua Jui Meng – pemimpin BN paling kanan yang melompat menyertai Pakatan Rakyat – berkata perdana menteri negara ini terlalu berkuasa.

Katanya, perdana menteri mempunyai terlalu banyak kuasa ke atas institusi dan parlimen.

Oleh itu, katanya, sudah tiba masanya – jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri – bagi beliau mengurangkan kuasa-kuasa tersebut dan memulangkannya kepada rakyat.

Bekas naib presiden MCA itu – yang dua kali gagal merebut jawatan presiden – keluar dari parti itu untuk menyertai PKR dua minggu lalu.

Chua yang merupakan menteri kesihatan paling lama – sembilan tahun semuanya – bercakap dengan Malaysiakini minggu lalu di kediamannya di Bukit Damansara.

Katanya, walaupun telah meninggalkan MCA, tetapi beliau masih merupakan kawan baik kepada presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

“Saya rasa beliau adalah seorang yang buat apa yang dia cakap, dan cakap apa yang dia buat, seorang yang lurus, saya suka orang macam ini,” kata Chua yang pernah menjadi ahli Parlimen Bakri di Johor, selama empat penggal.

Chua juga membayangkan bahawa Soi Lek mendapat sokongan Umno.

“Saya telah nyatakan dengan jelas dalam ucapan saya di mesyuarat bahagian bahawa pada hari ini, terdapat dua MCA – satu dipilih oleh perwakilan, dan satu lagi oleh kuasa luar.

“Saya lihat Soi Lek menggunakan kedudukannya untuk mengumpul kekuatan, jadi terdapat dua MCA, anda tidak dapat lari daripadanya. Tanyalah orang ramai, mereka akan beritahu bahawa ada dua MCA, bukan buatan Tee Keat, tetapi oleh kuasa luar,” katanya.

Malaysiakini


Suruhanjaya Diraja mesti benar-benar bebas – PAS

Posted under ARTIKEL, SUARA RAKYAT by anakraja on Saturday 25 July 2009 at 11:14 am

MARANG, 25 Julai (Hrkh) - PAS mahukan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat isu kematian Teoh Beng Hock benar-benar bebas.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berharap Suruhanjaya tersebut benar-benar bebas dan menjalankan penyiasatan secara menyeluruh serta profesional.

“Pakatan Rakyat telah bermesyuarat pada minggu lepas dan telah membuat satu keputusan supaya satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian (Teoh) ini.

“Alhamdulillah, pada hari ini Suruhanjaya itu telah ditubuhkan dan kita (PAS) mengharapkan Suruhanjaya Diraja ini menjadi Suruhanjaya yang benar-benar bebas dan profesional sifatnya untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh,”ujarnya ketika ditemui selepas melancarkan program Bulan Tarbiyah, di Masjid Pengadang Baru, dekat sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata PAS tidak berhasrat meletakkan sebarang andaian terhadap kes kematian misteri Teoh.

Katanya, PAS akan menunggu keputusan hasil penyiasatan oleh Suruhanjaya DiRaja tersebut.

Mengulas lanjut isu menziarahi kematian Teoh, katanya PAS berpegang dengan asas Islam yang membenarkan seseorang Islam menziarahi serta mengucapkan takziah terhadap kematian seseorang bukan Islam.

Menurutnya, kehadiran wakil PAS ke majlis ziarah takziah mendiang Teoh di Melaka adalah selaras dengan keputusan bersyarat Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang diadakan 19 Julai, lalu.

“Kita (PAS) meletakkan syarat. Ziarah takziah dibolehkan tetapi tidak boleh melibatkan dengan hal-hal yang berkaitan dengan agama,” jelasnya.

Namun begitu, katanya PAS bersyukur kerana jamaah menteri akur dengan desakan pelbagai pihak agar ditubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Blog Widget by LinkWithin

Add to Google Reader or Homepage
zinwave Wordpress Theme