Membaca Makna Di Sebalik Tindakan Pak Lah
SEKALIGUS pertukaran portfolio antara Abdullah Ahmad Badawi dengan Najib Razak untuk jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pertahanan memperlihatkan keikhlasan Abdullah untuk mengangkat Najib sebagai Perdana Menteri. Pertukaran itu juga sebagai persiapan kepada Najib untuk berlatih mengira dan mengenali not-not wang negara asing.
Petukaran itu juga membayangkan Abdullah bersedia memenuhi impian dan angan-angan Najib untuk mengambil alih tempatnya sebagai Perdana Menteri.

Najib tentu gembira dengan apa yang berlaku secara tiba-tiba itu dan seolah yang bulat datang menggolek dan yang leper datang melayang itu! Yalah Menteri Kewangan merupakan meteri paling berprestej dan glamour. Ditangan menteri itulah terletaknya karung dan guni kewangan negara.
Najib juga diberikan jawatan Pengerusi Khazanah Negara. Kedudukan itu meletakkan Najib sebagai pemegang segala khazanah dan seluruh kekayaan negara baik yang beku atau cair.
Jadi apa yang Abdullah hendak tengok ialah kegagalan Najib kelak. Kegagalan itu pula akan menjadi senjata kepada Abdullah untuk melihat Najib mati secara beragam dengan angan-angan besarnya.
Saya nampak dalam hal ini Abdullah mahu memberi peluang kepada Najib melakukan sesuatu. Apakah beliau berbakat dalam hal kewangan dan ekonomi atau tidak? Abdullah ada alasan sendiri untuk menjadi PM bukan saja memerlukan kepada kesegakkan tubuh badan tetapi kecerdikan otak serta sifat-sifat lain lagi yang tidak kurang pentingnya.
Sementara itu pengambilalihan jawatan Menteri Pertahanan itu mungkin disebabkan Abdullah sudah sedar apa dilakukan Najib dengan kementerian itu. Penggunaan Military Intelligent Organization (MIO) oleh Najib untuk kepentingan poltiknya mungkin membimbangkan Abdullah. Jadi sebelum pagar memakan padi elok kalau beliau mengawal sendiri kementerian berkenaan dan biarlah MIO melaporkan semua perkembangan mengenai keselamatan dan politik negara kepadanya seorang saja tanpa berkosngsi dengan orang kedua.


























