Web Hosting Mampu Milik Rakyat Malaysia



RESPON KICKDEFELLA: Isu terbalik Jalur Gemilang

Posted under UMUM by admin on Thursday 21 August 2008 at 7:46 pm

Evil Pertahankan Abdullah

Saya akan pertahankan hak Abdullah Ahmad Badawi yang merujuk saya sebagai Evil. Saya juga akan pertahankan hak Abdullah menuduh saya berniat jahat. Saya hormati hak Abdullah sebagai individu dan menghormati haknya untuk berkata-kata.

Sekarang bolehkah Abdullah menghormati hak saya?

Dendam kesumat Abdullah terhadap saya tidak perlu dibangkitkan hingga melibatkan perundangan negara.

Jika Abdullah yang berada di singgahsana merasa sedih melihat Jalur Gemilang diterbalikan secara maya di alam siber oleh saya, seribu kali lagi saya merasa sedih bertanggungjawab menerbalikan jalur gemilang itu.

Setiap hari bila saya membuka blog saya, hati saya terguris melihat jalur gemilang ini terbalik. Namun saya tabahkan hati saya kerana bagi saya nilai masa hadapan dan nilai nyawa seorang rakyat Malaysia lebih utama dari segala perlambangan.

Saya terbalikkan jalur gemilang setelah Kerajaan melaksanakan “Self-Service System” di stesen-stesen minyak seluruh negara. Tindakan kerajaan ini mengakibatkan atendan-atendan pam di seluruh Malaysia menerima notis perberhentian kerja pada 1 Ogos 2008. Mereka akan mula kehilangan punca pencarian pada 1 September 2008.

Kebanyakan pekerja stesen minyak di pekan-pekan kecil dan kawasan luar bandar adalah anak watan, warganegara Malaysia. Kalau kita boleh menangisi dan membesarkan tindakan kilang-kilang multinasional memberhentikan pekerja, bagaimana pula dengan nasib pekerja-pekerja orang Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain yang hilang pekerjaan akibat tindakan Kerajaan yang sepatutnya mewakili mereka ini.

Adakah kerana saya protes terhadap penindasan menerusi polisi oleh Kerajaan terhadap anak bangsa sendiri adalah berniat jahat?

Apakah saya menerbalikan bendera Malaysia supaya masyarakat mendengar keluhan saya tentang nasib anak-anak watan ini menjadikan saya seorang yang jahat?

Setiap hari terpampang di dada akhbar nasib anak-anak watan yang dilanda kemiskinan. Setiap hari terpampang di dada akhbar anak-anak watan mencabut nyawa mereka sendiri bahkan lebih dasyhat mencabut nyawa anak-anak mereka sekali kerana tidak sanggup berhadapan dengan kemelut ekonomi dan masalah rumahtangga yang hadir setelah mereka di landa kemelut itu.

Saya pernah melaluinya. Saya pernah kehilangan pekerjaan dan bukan sekali tetapi lebih dari itu. Saya tahu jerih perihnya. Saya masih ingat hangatnya airmata saya mengalir di pipi sewaktu saya membelai rambut anak saya yang sedang lena. Saya masih merasa pedihnya tidak dapat memberikan yang terbaik untuk anak-anak saya.

Tetapi, diluar sana, bukan lagi soal memberikan yang terbaik tetapi memberikan keperluan asas pun sudah tidak termampu. Memang benar, kita masih belum menjadi seperti Myanmar, tetapi haruskan kita menunggu sehingga kita setaraf dengan Myanmar?

Dimanakah ahli-ahli politik yang kita lantik pada 8 Mac 2008 yang lalu. Berapa ramaikah yang bermati-matian mempertahankan hak rakyat dengan segala kudrat mereka? Berapa ramaikah pula yang terhoyong-hayang ke sana ke mari terus bermain politik?

Sekarang kita berhadapan dengan kemelut dalaman UMNO yang mengikat pemimpin-pemimpin mereka sepenuh masa untuk mempertahankan kedudukan mereka di dalam pemilihan UMNO di peringkat Cawangan, kemudian Bahagian dan akhirnya peringkat nasional, begitu juga dengan MCA.

Fokus ahli-ahli politik yang sepatutnya menjana minda mereka untuk memberi yang terbaik kepada rakyat Malaysia sebenarnya telah terhapus dengan kesungguhan mereka bermain politik.

Saya mengeluh, saya tahu rakyat segelintirnya turut mengeluh sama. Saya tahu majoriti rakyat Malaysia merasai kesan di atas merudumnya ekonomi mereka sendiri akibat tindakan kerajaan yang tidak tepat. Ya, saya yakin di dalam banyak hal, tindakan oleh kerajaan tidak tepat.

Akibatnya, rakyat merasai kesengsaraannya. Persoalannya bukan berapa ramai yang mengalami kesengsaraan tetapi berapa ramai yang berani meluahkan kesengsaraan mereka.

Bagi atendan-atendan pam minyak yang kehilangan punca pencarian bermula 1 September ini, dunia mereka sudah roboh. Bukan mudah malah hampir mustahil untuk mencari pekerjaan dikampung dan dipekan kecil dengan hanya berbekalkan sijil tamat sekolah rendah, tamat tingkatan 3 dan tercicir dari tingkatan 5. Bukan juga mudah bagi pak cik dan mak cik yang yang tidak mempunyai apa-apa kelulusan dan kini berusia lebih 50 tahun yang terpaksa bekerja seharian di pam minyak dan kini seharian hidup mereka hendak ke mana?

Orang-orang kecil, warga kerdil Malaysia mengalami kesengsaraan. Saya mahu hak mereka tidak diabaikan. Apabila hak mereka kita abaikan seperti yang berlaku sekarang, yang bersalah bukan sahaja kerajaan, bukan sahaja ahli-ahli politik dan bukan sahaja orang-orang kaya.

Apakah kita fikir insan-insan kecil ini pedulikan kebanggaan kita pada Jalur Gemilang? Mereka juga ingin berjaya. Ingin membelai anak-anak mereka setiap malam. Mereka juga ingin mandikan anak-anak mereka dengan kebahagiaan.

Apakah patriotik namanya berdiri tegak menjulang panji dan bendera sedang kaki bergelumang najis?

Bagi saya, itu bukan patriotik namanya. Sebuah negara boleh wujud tanpa panji tanpa bendera, tanpa nama dan kebesarannya. Tetapi bolehkah wujud sebuah negara tanpa rakyat, tanpa insan kerdil. Bukankah kita dulupun insan kecil juga?

Salam saya buat Abdullah.

Sheih Kickdefella


SPR GAGAL KENDALI PRK SECARA TELUS

Posted under BERITA by admin on Thursday 21 August 2008 at 5:41 pm

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Hrkh) – Parti KeADILan Rakyat hari ini menghantar nota bantahan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), berikutan kegagalan badan itu mengendalikan Pilihan raya Kecil Permatang Pauh secara adil dan telus.

Setiausaha Agung KeADILan, Dato’ Sallehuddin Hashim dalam suratnya kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengemukakan tujuh sebab mengapa pihaknya mendapati perjalanan pilihan raya tercemar.

Dalam suratnya juga beliau menegaskan, KeADILan amat tidak berpuashati dengan SPR walaupun banyak aduan, kritikan dan cadangan, badan itu masih tidak berubah.

Berikut disiarkan teks penuh surat bantahan KeADILan kepada SPR;

RUJUKAN KAMI: SUA2008/SPR/0115

TARIKH: 21 Ogos 2008

Yang Berbahagia
Tan Sri Dato’ Seri Ab. Rashid b. Ab. Rahman
Pengerusi
Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia
Aras 4 & 5, Blok C7, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62690 PUTRAJAYA

Yang Berbahagia Tan Sri,

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

ADUAN BERHUBUNG PERJALANAN KEMPEN PILIHANRAYA KECIL P.44 PARLIMEN PERMATANG PAUH

Menemui Yang Berbahagia Tan Sri semoga dalam lingkungan kesejahteraan yang baik.

Merujuk kepada perkara di atas dan seperti yang kita maklumi bersama bahawa Pilihanraya Kecil bagi Parlimen Permatang Pauh sedang rancak berjalan. Pilihanraya kali ini dianggap paling menjadi tumpuan negara dan dunia kerana mempertemukan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menentang calon dari Umno dan AKIM.

Adalah sangat mendukacitakan ketika seluruh rakyat dan masyarakat antarabangsa begitu berminat mengikuti perkembangan pilihanraya, namun perjalanan kempen pilihanraya terus dicemari dengan pelbagai salah laku kempen yang memperlihatkan kelemahan sistem demokrasi di Malaysia dan tentunya memperlihatkan kegagalan SPR untuk mengendalikannya secara adil dan telus.

Saya sangat mempersoalkan kredibiliti dan kerja SPR kerana apa yang timbul bukanlah perkara baru malahan ianya adalah perkara sama yang berbangkit pada setiap kali pilihanraya walaupun berbagai-bagai aduan, kritikan, dan cadangan telah dikemukakan kepada pihak SPR.

Sehubungan dengan itu saya meminta dan berharap agar SPR dapat meneliti untuk bertindak dengan serius dan bersungguh-sungguh terhadap aduan yang saya kemukakan seperti berikut;

i. Nama Pengundi Hilang

Dilaporkan bahawa terdapat lebih dari 900 pengundi yang namanya tercicir dan hilang daripada buku daftar pemilih bagi Parlimen P.44 Permatang Pauh. Nama-nama tersebut terdapat dalam senarai daftar pemilih yang lepas dan boleh membuang undi pada pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini kini didapati tercicir dari daftar pemilih terbaru.

ii. Pemilihan Hari Bekerja Sebagai Hari Membuang Undi

Dilaporkan bahawa pemilihan hari Selasa 26hb Ogos, 2008 iaitu hari bekerja adalah sesuatu yang sangat dipersoalkan kerana akan menyukarkan kepada pengundi untuk membuang undi terutamanya pengundi-pengundi yang bekerja dan pengundi yang berada diluar kawasan.

iii. Menggunakan Agensi Kerajaan Untuk Tujuan Kempen Umno/BN

Agensi kerajaan telah dugunakan secara terang-terangan untuk berkempen bagi pihak Parti kerajaan Umno/Barisan Nasional. Penglibatan agensi kerajaan untuk tujuan kempen adalah menjadi suatu kesalahan dan melanggar etika kempen pilihanraya

iv. Laporan Media Yang Berat Sebelah

Laporan media terhadap kempen pilihanraya secara keseluruhannya menyebelahi calon Umno/BN dan pendekatan menyerang calon Parti Keadilan Rakyat secara keseluruhannya laporan media adalah sesuatu yang malang bagi prinsip etika media dan sistem Demokrasi Malaysia.

v. Penggunaan Pasukan Anggota Keselamatan

Kempen pada kali ini menampakkan kawalan keselamatan yang berlebihan. Ramainya anggota polis, menggunakan helikopter dan polis simpanan persekutuan adalah bertujuan untuk mengganggu kempen dan mewujudkan rasa takut kepada pengundi disamping media cuba melabelkan Parti Keadilan Rakyat dengan keganasan yang langsung tidak berasas sama sekali.

vi. Mengambil Kad Pengenalan Pengundi

Terdapat laporan petugas-petugas kempen Umno/BN telah berjumpa dengan pengundi dan mengambil kad pengenalan pengundi atau salinan kad pengenalan. Tindakan ini adalah menjadi suatu kesalahan dan mewujudkan kesangsian tindakan Umno/BN.

vii. Sogokan Wang kepada Pengundi

Dilaporkan bahawa kempen Umno/BN telah menggunakan sogokan wang untuk meraih undi. Petugas Umno/Bn bertemu pengundi menawarkan wang supaya pengundi diminta mengundi calon Umno/BN atau pun pengundi menyerahkan kad pengenalan mereka. Tindakan ini selain menyalahi etika pilihanraya dan mempunyai unsur amalan rasuah.

Kerjasama dan tindakan dari pihak Tan Sri saya hargai dengan ucapan terima kasih. Semoga usaha bersama kita memartabatkan demokrasi Malaysia akan mencapai kejayaan.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SALEHUDDIN HASHIM

Setiausaha Agung

Parti Keadilan Rakyat


ISTERI PUN JADI MODAL KEMPEN?

Posted under BERITA by admin on Thursday 21 August 2008 at 4:34 pm

Anwar ancam saman Hamzah RM10 juta

Gara-gara mendakwa calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah “mengacau” dan “ingin ambil kesempatan” terhadap isterinya, seorang timbalan menteri bakal berdepan tindakan saman fitnah dengan jumlah RM10 juta.

Timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan dilaporkan berkata pemilih di kawasan parlimen Permatang Pauh tidak wajar mengundi Anwar dalam pilihanraya kecil 26 Ogos ini.

Menurut peguam Anwar, kenyataan Datuk Hamzah Zainuddin dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina, Kwong Wah Jit Poh kelmarin.

Dalam suratnya semalam, peguam tokoh PKR itu Sankara Nair menuntut Hamzah menarik balik kenyataannya itu dalam tempoh 48 jam atau akan dikenakan tindakan saman.

Menurut surat itu lagi, keratan berita yang dipertikaikan Anwar itu berbunyi (selepas terjemahan):

“Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Hamzah Zainuddin mendedahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengacau isterinya pada 1998.

“Anwar ingin mengambil kesempatan terhadap isteri rakannya walaupun mereka berdua masih kenalan rapat. Oleh itu beliau fikir pengundi tidak wajar mengundi calon Pakatan Rakyat yang diketuai oleh tokoh berkenaan.”

Surat tuntutan itu menyebut, kenyataan timbalan menteri itu membawa maksud secara langsung atau tidak langsung memberi gambaran bahawa Anwar pernah terlibat dengan kegiatan seks haram atau mempunyai tabiat suka berbuat demikian, seorang lelaki yang berakhlak rendah, lelaki yang tidak mempunyai nilai-nilai Islam, dan mempunyai perwatakan buruk.

Anwar beranggapan, kenyataan Hamzah itu sebagai sangat cuai, tidak bertanggungjawab, dengan sengaja dan berniat jahat merendah-rendahkannya di mata orang ramai sehingga boleh menimbulkan kebencian dan penghinaan mereka.

Bekas timbalan perdana menteri juga, menurut surat peguam itu lagi, berkata kenyataan Hamzah berniat jahat, satu bentuk penyelewengan fakta yang menunjukkan akhlaknya buruk demi merosakkan imejnya dan mencari publisiti murahan.

Selain menuntut penarikan kembali kenyataan itu, Hazmah juga dikehendaki memohon maaf mengikut kata-kata peguam berkenaan di akhbar-akhbar pilihan Anwar dan tidak lagi mengulangi kenyataan seumpama itu.

Menurut satu kenyataan PKR hari ini, surat tuntutan Anwar itu telah dikirim melalui faksimili kepada pejabat rasmi Hamzah di Putrjaya jam 5.30 petang semalam.


KONSPIRASI LAGI?

Posted under UMUM by admin on Thursday 21 August 2008 at 4:02 pm
Kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Perak membabitkan kes 2 orang EXCO Parti KeADILan Rakyat hari ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak menegaskan bahawa wujudnya 1 konspirasi politik tertinggi dengan tujuan cuba menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak.

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak sekeras-kerasnya menafikan kewujudan Projek Perumahan yang dikatakan bernilai RM180juta di Sri Iskandar.

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak juga TIDAK PERNAH MELULUSKAN apa-apa projek perumahan di Sri Iskandar seperti yang diwar-warkan setakat ini.

Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak juga menegaskan bahawa mustahil bagi YB Jamaluddin dan juga Kapten Osman meluluskan apa-apa projek perumahan kerana ianya adalah DILUAR BIDANG KUASA MEREKA.

Sebagai sokongan kepada kedua-dua EXCO yang ditahan berkenaan dengan kes yang disebutkan, 1 KEMPEN SOLIDARITI telah dilancarkan untuk YB Jamaluddin dan juga YB Osman.

Sebagai langkah pertama KEMPEN SOLIDARITI, 1 perhimpunan akan diadakan pada jam 9:00 pagi esok di perkarangan Mahkamah Majistret Ipoh.

Seterusnya pada jam 2:30 petang 1 lagi perhimpunan akan diadakan di Mahkamah Tinggi dimana Hakim akan membuat keputusan untuk menilai semula perintah tahanan reman kedua-dua tertuduh.


Exco dianiaya! – MB Perak

Posted under UMUM by admin on Thursday 21 August 2008 at 3:02 pm

IPOH, 21 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan kewujudan projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar yang didakwa menjadi punca penahanan dua Exco Kerajaan Negeri dan enam yang lain oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Sehubungan itu, beliau menegaskan keyakinan bahawa mereka yang terbabit kemungkinan dianiayai.

“Kerajaan Pakatan Rakyat menafikan ada meluluskan mana-mana projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar; projek tersebut tidak wujud, jadi mustahil kedua-dua Exco boleh membantu meluluskan projek itu,” katanya dalam satu sidang media di sini, semalam.

“Kami yakin kedua-dua Exco dan rakan-rakannya telah dianiaya; Kerajaan Pakatan Rakyat tidak tergugat dan akan terus tadbir dan urus negeri seperti biasa,” katanya.

Nizar bagaimanapun menyerahkan kepada BPR untuk melakukan siasatan dan keputusan kes tersebut akan ditentukan melalui proses undang-undang.

Beliau juga berjanji akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung isu itu.

Di masa yang sama, Nizar mengumumkan keputusan Pakatan Rakyat Perak untuk membentuk panel peguam untuk membantu pembelaan dua Exco terbabit.

Dua Exco Perak yang ditahan reman BPR bagi membantu siasatan semalam ialah Exco Pelancongan, Pembangunan Insan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang juga Adun Changkat Jering, Kepten (B) Osman Mohd Jailu dan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan, yang juga Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi.

Selain dua exco kerajaan negeri itu, yang lainnya ialah seorang ahli Majlis Daerah Perak Tengah, seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan dua orang peniaga.

Seorang lagi yang didakwa terlibat ialah bekas Adun Bota, Kepten (B) Usaili Alias.

Difahamkan, dua ahli exco yang ditahan itu, tidak terbabit dalam rasuah seks.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Pengerusi DAP Perak yang juga ahli exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ngeh Koo Ham menyifatkan penahanan dua pemimpin Pakatan itu sebagai satu tindakan BN untuk melemahkan kerajaan negeri.

“Ini hanyalah satu percubaan untuk melemahkam Pakatan di Perak, dan satu percubaan untuk menyumbat mereka ke penjara,” kata Ngeh, ketika ditemui Malaysiakini di lobi Parlimen, semalam.

Ngeh berkata, perkhidmatan kedua-dua ahli exco itu tidak akan digantung sepanjang penyiasatan dijalankan oleh BPR, sambil menegaskan bahawa mereka telah dianiaya.

“Kami mengesyaki yang mereka telah dianiaya. Jadi, bagaimana perkhidmatan mereka hendak digantung?” tegasnya.

Beliau juga menyentuh tentang ‘tindakan pantas” BPR bertindak dalam kes-kes yang membabitkan wakil rakyat Pakatan.

“Apa yang paling mengecewa dalam hal ini, ialah mengapa BPR bertindak pantas sekali dalam mengambil tindakan terhadap kita, sedangkan kita juga telah membuat banyak laporan terhadap BN tentang perbuatan rasuah mereka?” soalnya.

Ngeh, yang juga ahli Parlimen Beruas, mempertahankan pemimpin Pakatan, sambil berkata mereka telah diingatkan supaya jangan terbabit dalam rasuah sebelulm kerajaan negeri ditubuhkan dahulu.

“Kita mahu mengisytiharkan bahawa kita telah memberi penekanan terhadap ketelusan dan penubuhan sebuah kerajaan yang bebas rasuah, sebelum kita menubuhkan kerajaan negeri,” tambahnya. – tajdid


MAKLUMAT ‘HOT’ TERKINI ‘on da way’

Posted under UMUM by admin on Thursday 21 August 2008 at 8:30 am

Salam dan selamat pagi kepada semua pembaca setia… penulis agak sibuk akhir-akhir ini membantu jentera pilihanraya Permatang Pauh.. tu la sebab kadang-kadang tak sempat juga nak update blog ni dengan info-info yang sudah berada di tangan penulis ni.

Semalam penulis ada menjengok-jengok jugak kempen BN di beberapa tempat di sini, yang nyatanya sambutan dari penduduk Permatang Pauh amatlah kurang jika nak dibandingkan dengan kempen pilihanraya PAKATAN RAKYAT yang penuh sesak dengan rakyat yang inginkan perubahan.. Biar bagaimanapun kerajaan mewar-warkan tentang keganasan atau apapun yang berbentuk fitnah atau tidak, ternyata penduduk di sini tetap menaruh harapan yang tinggi terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai suara mereka! Ini telah terbukti dengan pengakuan setiap penduduk yang telah penulis temubual!

Penulis sebenarnya mempunyai satu maklumat yang cukup memeranjatkan tentang kempen pilihanraya BN di sini! Tetapi biarlah penulis siasat dahulu sejauh mana kebenaran maklumat tersebut…

OK lah, penulis pun dah nak gerak keluar meninjau keadaan di sini hari ni…

Nantikan MAKLUMAT tersebut untuk penulis paparkan dalam post yang seterusnya setelah sumber tersebut benar-benar disahkan! TERJAHHHH!!!!


PM: Blogger terbalik bendera ‘kurang ajar’!

Posted under UMUM by admin on Thursday 21 August 2008 at 12:52 am

MALAYSIAKINI – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan cadangan dari seorang penulis blog supaya rakyat mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik sempena sambutan Hari Kemerdekaan sebagai satu perbuatan “kurang ajar.”

 

Perdana Menteri berkata perbuatan sedemikian bukan lagi boleh disifatkan sebagai satu perbuatan nakal tetapi amat jahat.

“Itu kurang ajar (bendera terbalik), tiada hormat langsung dengan bendera kita, apa yang marah sangat dengan bendera Malaysia,” katanya kepada pemberita
selepas menghadiri Jambori Keamanan Antarabangsa Ketiga Pengakap di Melaka hari ini.

Abdullah berkata penulis blog itu cuba mencetuskan satu idea tanpa memikirkan kesan selanjutnya, demikian menurut laporan Bernama.

“Sahaja nak bagi orang susah dengan buat cerita yang bukan-bukan,” katanya.

Beliau berharap polis akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Cadangan untuk mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbalik itu dicetuskan oleh penulis blog berasal dari Kelantan, Kickdefella, melalui catatannya pada 4 Ogos lalu.

Kata penulis blog itu, pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik merupakan satu perkara yang diterima oleh masyarakat antarabangsa sebagai satu simbol
kecemasan, dan beliau meminta rakyat melakukannya bagi menyatakan bahawa negara ini sedang dalam keadaan tertekan.

Cadangan beliau bagaimanapun mendapat bantahan dari rakyat Malaysia dari pelbagai kaum termasuk juga dari penyokong pembangkang.

Seorang pelawat blog itu menulis bahawa jika di India, pengibaran bendera negara secara terbalik tidak diterima sebagai simbol kecemasan antarabangsa sebaliknya merupakan penghinaan kepada negara itu.

BERIKAN KOMEN ANDA !


ANWAR NAK HANTAR ABDULLAH SEBAGAI KETUA PEMBANGKANG ~ Ref Malaysiakini

Posted under UMUM by admin on Thursday 21 August 2008 at 12:41 am

BAHANG pilihan raya kecil semakin hangat di Permatang Pauh apabila penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam menedahkan bahawa Anggota Parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) dari Sabah dan Sarawak sedang bersiap sedia menyertainya sebaik beliau dilantik menjadi ketua pembangkang.

Beliau juga mengulangi amarannya untuk mengguling kerajaan dan mengambil alih sebagai Perdana Menteri.

Berucap di majlis pelancaran slogan kempennya iaitu ‘Merdeka Rakyat’ di sini semalam, Datuk Seri Anwar berkata:

‘Kawan-kawan saya di Sabah dan Sarawak kata ‘Anwar bila anda masuk Parlimen (pada 27 Ogos ini), anda boleh jangkakan kita lompat parti ikut Pakatan Rakyat.

‘Insya-Allah, sasaran kita selepas itu ialah untuk mengambil alih Putrajaya dan kita hantar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai ketua pembangkang.’

Sebelum ini, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia itu beberapa kali berkata beliau yakin dapat menggulingkan kerajaan menjelang 16 September ini.

Kelmarin, Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, mendakwa 13 AP BN dari Sabah telah memaklumkannya akan melompat parti.

Pembangkang yang menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum Mac lalu, memerlukan sekurang-kurangnya 30 AP BN menyertai mereka untuk membentuk kerajaan pusat.

Namun, sumber-sumber terdekat Pakatan Rakyat mendedahkan Datuk Seri Anwar kini telah berjaya menarik lebih daripada jumlah itu.

Sementara itu, polis semalam berkata pihaknya menerima maklumat terdapat usaha pihak tertentu menakut-nakutkan pengundi di Permatang Pauh bagi menghalang mereka keluar mengundi Selasa depan.

Pegawai perhubungan media, Superintenden Shaharon Anuar Abdul Latif, berkata maklumat itu diperoleh hasil daripada risikan dan pemerhatian pihaknya.

Dalam pada itu, calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, terus mendapat sokongan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mengadakan kunjungan ke beberapa lokasi di kawasan undi kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi hari ketiga berturut-turut, malam tadi.

Ketika berucap pada pertemuan dengan masyarakat India dan Cina di Bukit Mertajam kelmarin, Datuk Seri Najib telah menggesa masyarakat itu agar tidak menggadaikan masa depan anak-anak dengan menyokong parti pembangkang.

‘Jangan mudah percaya dengan janji-janji yang dibuat oleh parti pembangkang dan jangan termakan kata-kata mereka yang jika diikut akan menyebabkan kita bergaduh antara kaum,’ katanya.


PERMATANG PAUH: HIDUP MATI ANWAR

Posted under UMUM by admin on Thursday 21 August 2008 at 12:40 am

Kekalutan pilihanraya kecil Permatang Pauh bukan sahaja melanda Barisan Nasional tetapi juga cabaran besar bagi Anwar Ibrahim dan PKR-nya. Diselubungi pelbagai tuduhan termasuk meliwat pembantunya, Permatang Pauh adalah jalan liar untuk Anwar lari dari tuduhan itu.

Bagi Barisan Nasional, kekalutan utama dalam memilih calon telah selesai. Pemilihan Ariff Shah menyelesaikan kekusutan siapa yang akan diamanahkan menumbangkan “gergasi” besar. Sebagai satu-satunya calon Barisan Nasional yang berjaya menawan “kubu kuat” Anwar di Permatang Pauh, pemilihan beliau tidak dapat dipertikaikan.

Seperti kata seorang bekas orang kuat PKR, pilihanraya kecil ini adalah medan di mana Anwar melawan berbayang dirinya sendiri.

Anwar tahun-tahun 2000 bukan lagi Anwar Ibrahim yang menjadi idola anak-anak muda Melayu tahun-tahun 80an dan 90an. Beliau bukan lagi meletakkan keutamaan bangsa dan agama tetapi lebih memperjuangkan cita-citanya untuk jadi Perdana Menteri selepas disingkirkan dari UMNO.

Anwar memerlukan kerusi Permatang Pauh untuk membuktikan pada dirinya sendiri beliau masih relevan dalam senario politik negara. Kekalahan Anwar akan membuktikan memang telah ditakdirkan kerusi Perdana Menteri bukan miliknya dan beliau perlu berundur.

Ini adalah medan Anwar, dan Permatang Pauh akan memastikan beliau hidup atau mati dalam politik Malaysia.

Blog Widget by LinkWithin

Add to Google Reader or Homepage
zinwave Wordpress Theme