Web Hosting Mampu Milik Rakyat Malaysia



Teori Politik Menjelang 16 September

Posted under UMUM by admin on Wednesday 13 August 2008 at 6:31 am

Cakap-cakap tentang penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan peruntukan Akta Hasutan sedikit meresahkan. Membaca permainan politik di Malaysia ini sebenarnya mudah… Cukup mudah.
Kini heboh tentang kedegilan Majlis Peguam Malaysia berhubung penganjuran forum ‘Memeluk Islam’ tempoh hari. Politikus profesional mulai memukul canang dengan cadangan agar digunakan ISA bagi menyekat kedegilan peguam-peguam ini.

Jangan lupa, media-media milik pemerintah kini sedang asyik masyuk memainkan sentimen kebangsaan dan kedaulatan Islam sebaik timbul polemik forum ini. Secara kebetulan, proses mensensasikan sentimen ini dibuat menjelang pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh yang dijadualkan tidak kurang dua minggu dari sekarang.

Rata-rata penganalisis politik optimis bahawa Anwar Ibrahim bakal mewakili warga Permatang Pauh di Dewan Rakyat. Dr Mahathir tanpa berselindung turut yakin yang Barisan Nasional akan kecundang.
Seandainya Anwar Ibrahim telah berjaya memasuki Dewan Rakyat, apakah kalian fikir regim Abdullah Badawi hanya akan mendiamkan diri?

Abdullah saya kira sudah bangkit dari lenanya yang panjang. Perhatikan tarikh sebutan semula kes liwat yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim yang jatuh pada 10 September. Kata Anwar, beliau akan membentuk kerajaan persekutuan yang baru menjelang 16 September.

Sebab itu saya nasihatkan agar kita semua usah terperangkap dalam mainan sentimen yang sengaja diolah media pemerintah untuk membakar emosi rakyat. Jangan biarkan politikus profesional ini mengacah-acah kita dengan ISA dan Akta Hasutan.

Masih ingatkah kalian apa yang terjadi selepas meletusnya Tragedi 13 Mei 1969?

Ya, darurat diisytihar dan Parlimen digantung. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan dan Allahyarham Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri Malaysia waktu itu mengambil alih teraju pentadbiran negara dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri (selepas Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra mengundurkan diri).

Tahukah kalian siapakah Timbalan Perdana Menteri Malaysia hari ini? Ya, Mohd Najib Abdul Razak, anak kepada Allahyarham Abdul Razak Hussein. Apakah kalian mahu sejarah zaman MAGERAN berulang semula?

Saya pasti jawapannya tidak!

(sumber: riwayat hayat)


ANALISIS: Di Sebalik Anwar Ke Permatang Pauh…

Posted under UMUM by admin on Wednesday 13 August 2008 at 2:35 am

Bacaan Sirah Nabawiyah khususnya peristiwa peperangan Rasulullah S.A.W dan pengurusan strategi-strategi perang baginda kebanyakannya hanya menjawab persoalan “what, when, where, who dan how”. Tetapi sangat jarang buku sirah menawarkan jawapan kepada pertanyaan “why” kepada wujudnya pelbagai perubahan-perubahan strategi-strategi perang Rasul.” - Dr. Syahidin, “Muhammad S.A.W On The Art of War” (tulisan Yuana Ryan Tresna)

Hakikatnya banyak rahsia-rahsia perang Rasul yang tidak sampai kepada pengetahuan kita umatnya pada saat ini kerana kehebatan soal kerahsiaan strategi dan gerakan politik Nabi sama ada perang Badar, Fathu Makkah, Perang Tabuk dan lain-lain. Hanya ketajaman minda siasah sahaja dapat menanggapi rahsia-rahsia “the Art of War” Rasulullah tersebut.

Ketika perang Uhud, tatkala situasi berbalik merugikan tentera Islam akibat kesilapan pasukan pemanah, baginda Rasul segera merencanakan “plan B” iaitu menukar kepada formasi pertahanan (alternative defensive), iaitu dengan menempatkan para sahabatnya di posisi belakang mereka sebelumnya (sebelum formasi serangan yang menatijahkan ghanimah) sehingga semua pasukannya yang bertempiaran lari kembali berkumpul di sekelilingnya dan menggagalkan rencana musuh untuk membunuh Nabi S.A.W dan menyapubersih para Sahabat dari muka bumi. Dalam perang Hunain, sekali lagi baginda melancarkan formasi serangan balas (counter attack) dengan kecekapan dan kemahirannya mengumpulkan pasukan yang telah bertempiaran lari sehingga kekalahan menjadi kemenangan. Hakikatnya, jika dikaji kesemua rahsia-rahsia kemenangan perang Rasul, baginda Rasul menggunakan pelbagai formasi (bukan satu dua formasi atau taktik sahaja) untuk pasukan tenteranya secara rasional.

Dalam semua misi perang, baginda berusaha memperkecil risiko kerugiannya. Mempertahan keamanan military adalah keutamaannya. Beliau membentuk unit rahsia, perisikan dan pasukan komando untuk mencapai tujuan ini. Tsu Zu pernah menyebut bahawa “mengalahkan lawan tanpa bertempur itulah puncak kemahiran. Jenderal yang menang setiap pertempuran bukanlah jagoan sejati. Membuat musuhmu kalah tanpa bertempur, itulah kuncinya.

Itulah prinsip itu sudah diterjemahkan Rasul 1400 tahun dahulu ketika deklarasi-deklarasi perang secara ‘mengejut’ dari Nabi menghancurkan moral dan kemahuan musuh sebelum pertempuran bermula. Penggunaan kaedah propaganda, serangan psikologi, unsur kejutan dan ketangkasan dalam serangan besar atau kecil membuatkan musuh jatuh egoismenya dan terentap mentalnya sebelum berperang lagi. Tujuan utamanya adalah menghentikan serangan musuh dengan kerugian jiwa sekecil mungkin. Baginda menjalankan prinsip ini dengan sangat ketat. Jika musuh telah dikalahkan dan kemampuan tempur telah dihancurkan, baginda tidak pernah mengejar musuh yang melarikan diri untuk membunuh mereka.

Ketika Nabi menerima berita koalisi Khaibar sedang bergabung untuk memerangi Madinah, baginda membuat pengumuman secara terbuka (baca : kenyataan media) kepada para Sahabatnya mengumumkan keinginannya untuk melaksanakan ibadah umrah pada tahun ke-6 Hijrah. Hakikatnya, Nabi S.A.W bukanlah meletakkan umrah itu matlamatnya. Kenyataan membuat umrah hanyalah “political statement” atau taktik perang sahaja. Buktinya, Rasulullah merasa puas hati dengan perjanjian damai Hudaibiyyah walaupun umrahnya tidak terlaksana.

Saya melihat tindakan Anwar mengishytiharkan akan bertanding di Permatang Pauh – bahkan pengishytiharan lebih awal dibuat secara berani sebaik sahaja berada di penghujung Debat Turun Harga Minyak – mempunyai “nilai” politik yang tersendiri. Bagi saya, saya tidak melihat Anwar akan melalui laluan mudah untuk menjadi PM sebagaimana optimisme ramai ahli politik dan bloggers. Anwar membuat kenyataan akan bertanding dalam PRK sebenarnya untuk merapuh dan meruntuhkan moral BN yang sedang giat aktif melancarkan fitnah dan ‘meliwat’ karier politiknya. Pengishytiharan itu juga sebenarnya satu “motivation statement” untuk mengukuhkan semula hubungan PAS-PKR-DAP dalam PR – yang nampak agak rapuh selepas isu muzakarah – melalui kerjasama yang akan terjalin dan ‘bersatu’ semula demi Permatang Pauh menghadapi musuh yang satu. Pengishytiharan itu juga sebenarnya untuk mengukuhkan semula hasrat ahli-ahli Parlimen BN yang mungkin semakin takut untuk melompat ke PR kerana melihat tindakan jahat Umno-BN membunuh karier politik sesiapa sahaja yang meninggal atau melompat keluar darinya.

Justeru, sama ada Anwar mampu bertanding atau dinafikan hak bertanding atau menang dengan majoriti lebih besar atau lebih kecil atau kalah akibat konspirasi SPR atau apa sahaja yang tidak mustahil berlaku, yang penting kenyataan Anwar tersebut hakikat mahu mencapai 3 objektif tersebut.


MINYAK OH MINYAK….

Posted under UMUM by admin on Wednesday 13 August 2008 at 1:16 am

Pada tarikh ini dan waktu 23:48, harga minyak dunia adalah USD 113.15 setong.Kira2 3 bulan lepas,harga minyak ni adalah kira2 20% lebih tinggi dari ini,lebih dari USD 159 setong.Masa minyak harga tu,masa tu la kerajaan kita kata,kenaikan harga minyak yg tak terkawal ini,menyebabkan kita terpaksa menanggung subsidi yg sangat tinggi.Saya tak reti sangat pasal minyak2 ni.Sebab tu kalau orang cakap berapa harga setong,setin ke,saya kurang paham.Saya cuma guna konsep biasa.Konsep saya ialah :

Jika harga minyak dunia naik,perbelanjaan kita juga akan naik,sebab kita bagi subsidi kepada rakyat.Kalau dulu,dengan harga RM1.92 seliter,katakan subsidi adalah 2 billion,makan dengan harga minyak yg makin naik,makanya jumlah subsidi yg ditanggung kerajaan makin banyak la kan. Kesian kerajaan…Habis duit dia.

Sebab tu,kerajaan TERPAKSA naikkan harga minyak kita ni.Nasib baik la tak banyak.Cuma beberapa sen saje.Jadilah minyak RM2.70 seliter.Cuma naik 78 sen je.Eleh,ape la yg kita boleh beli dengan 78 sen ni kan? Jadi tak banyak la 78 sen tu.

Eh nanti.Ke saya silap? Kenapa kalau selama ni saya isi RM50 minyak,saya dapat dalam 26 liter..Sekarang ni saya dapat cuma…18 liter? Eh 18 liter je? Abis tu kalau orang macam saya yg gaji cuma tak seberapa ni,yg banyak kena jalan2 ni,18 liter tu tahan bape lama?2 HARI JE?????eh….macam mana bole jadi macam ni? Padahal sikit je naik…78 sen je…Eh pening la saya.

nanti dulu…Kan PM dan menteri2 dah cakap, Kena tukar cara hidup. Ooooo….Patut la…Patut la saya macam makin tak cukup duit.Rupanya saya tak tukar cara hidup rupanya.hmm..baru lah paham.Kalau sebelum ni,makan nasik goreng ayam paprik dengan telur mata dan air teh ais,skang ni kena la tukar nasi goreng kampung dengan ais kosong.Kalau dulu,cuci kereta sebulan sekali,sekarang ni kena la cuci 2 bulan sekali.Kalau dulu nak balik kampung jumpa mak bapak sebulan sekali,sekarang ni kena la balik 3 bulan sekali(nak balik naik flight ke,bas ke,seme harga dah naik jugak…).Kalau dulu bole gi gym untuk sihatkan badan(kerajaan kan asyik dengan kempen KESIHATAN),skang ni dah kena kensel gi gym.Rugi oo bayar RM117 sebulan.

Oooo….sekarang ni baru la saya faham.Kita ni jangan sekali2 merungut pasal harga minyak naik ni.Kita kena tukar cara hidup rupanya.Ooo…dulu ingat nak beli umah,sekali umah pun harga naik.Eh nanti dulu…ape yg tak naik harga?Macam seme naik je?Alamak…macam mana ni……

Kesimpulannya,naik ke ,turun ke,kekal ke,kita yg kena berkorban untuk kerajaa.Sebab kesian kerajaan berkorban untuk kita. Gila wooo! Subsidi beribu2 juta ooo..ingat sikit je billion tu? Ada berapa kosong kat belakang tu…Fuh!!!!Terima Kasih kerajaan Malaysia!

(sumber: magpiespundit)


SAIFUL JUMPA EZAM SEBELUM BUAT REPORT?

Posted under UMUM by admin on Wednesday 13 August 2008 at 12:53 am

Pendedahan komplot politik Umno di sebalik tuduhan terhadap Anwar

Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengulangi beberapa kali peringatan terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang didakwanya secara cuai terbabit dalam konspirasi mengenakan tuduhan liwat ke atas beliau.

Kata Anwar, PM secara cuai melibatkan dirinya dengan kes ini, dalam usaha untuk menggagalkan sebarang proses perubahan di Malaysia dan untuk menghindari kejatuhan karier politik beliau.

“Saya menasihati mereka di sekeliling beliau untuk menjauhi bahtera kepimpinan beliau yang bakal tenggelam itu selagi mereka mempunyai peluang,” ujarnya.

Sebelum ini Ketua Umum KeADILan itu sering mengelak untuk bertembung dengan PM. Kelihatan jelas beliau hanya menumpukan serangan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang didakwanya terbabit dalam pelbagai kes berkaitan rasuah.

Sehingga timbul suatu persepsi di kalangan rakyat, bahawa seolah-olahnya tercetusnya konflik peribadi Anwar-Najib. Anwar menuduh Najib terbabit dalam kes Altantuya Shaariibuu, manakala Najib mengaitkan Anwar dengan kes liwat Saiful Bukhari Azlan.

Mengapa berlaku sebaliknya? Anwar kini dengan nada yang tegas memberikan peringatan seumpama itu terhadap Abdullah?

Ada sumber mendakwa sewaktu kes pertama yang mendakwa Anwar dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Abdullah adalah antara yang disebut-sebut terbabit.

Ketika itu, selain Tun Dr Mahathir Mohamad, antara yang didakwa terbabit sebagai konspirator utama yang terbabit dalam ‘mengenakan’ Anwar adalah Tun Daim Zainuddin, Dato’ Aziz Shamsuddin, Dato’ Tengku Adnan Tengku Mansor, Dato’ Megat Junid Megat Ayob, Dato’ Seri Sanusi Junid dan beberapa orang lain.

Sewaktu Mahathir memecat Anwar sebagai TPM dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, Abdullah ketika itu menjadi Menteri Luar yang berada di Amerika Syarikat.

Selepas Mahathir memecat Anwar, Abdullah adalah antara individu yang pertama membuat kenyataan dari luar negara, menyokong pemecatan Anwar.

Sehingga ada yang sumber yang mengatakan, Mahathir melantik Abdullah menjadi penggantinya, ’sebagai hadiah’ daripada kesetiaan yang tidak berbelah bahaginya kepada Mahathir, khususnya dalam kes Anwar.

Pada ketika itu, walaupun Najib menjadi Naib Presiden yang paling kanan, namun beliau tidak dilantik. Barangkali bukan kerana beliau lebih muda daripada Abdullah, tetapi Najib kelihatannya lebih berhati-hati untuk ‘mengiyakan’ serangan Mahathir terhadap Anwar berbanding Abdullah.

Justeru ada yang berpendapat, Abdullah Badawi sejak awal-awal lagi (sejak sebelum 1998) sudah ‘establish’ dengan grup yang mempercayai Anwar terbabit dengan salahlaku liwat.

Maka tidak hairan kali ini, ada yang mendakwa beliau terbabit dalam ’second accusation’ terhadap Anwar.

Apakah Abdullah benar-benar terbabit, terserah kepada pihak berkenaan membuktikannya.

Apakah Abdullah sahaja yang terbabit? Apakah mungkin menantunya Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas orang kanan Anwar, Mohamed Ezam Md Nor turut menjadi pelakon utama sandiwara terbaru ini?

Cara pembikinan dakwaan pertuduhan liwat ke atas Anwar

Menurut sumber beberapa bulan sebelum pilihan raya umum, dalam satu mesyuarat Gerak, pengerusinya Ezam ada membayangkan bahawa bekas bosnya, Anwar Ibrahim akan terbabit dengan satu lagi kes liwat.

“Waktu itu Ezam membayangkan nama lain (enggan disebut) sebagai pelakon utama yang akan terbabit dengan Anwar, tetapi alih-alih nama Saiful pula timbul.

“Watak-watak dan nama yang disebutkan Ezam waktu itu berbeza dengan watak yang berlaku, tetapi jalan cerita atau plot dramanya sama,” kata sumber berkenaan.

Persoalannya bagaimana nama Saiful boleh timbul dalam kes ini. Menurut cerita kawan-kawan yang bertugas di pejabat Anwar, sejurus sebelum pilihan raya Saiful dibawa bertugas di pejabat tersebut oleh seorang bekas staf yang bernama Rahimi.

Rahimi dikenali amat rapat dengan Ezam. Pada waktu itu Ezam sudah lama keluar daripada KeADILan dan sering membuat berbagai kenyataan mengkritik KeADILan dan Anwar sendiri.

Namun, semua mereka menerima kehadiran Saiful dengan sangka baik, dalam keadaan Anwar kekurangan staf kerana kesibukan masing-masing berhadapan dengan pilihan raya umum.

Maka, bermula sebagai tugasan sukarelawan, sebagai ‘pembancuh kopi’ sehingga kepada tugasan mencatat beberapa perundingan dan perbincangan Anwar dengan pihak-pihak tertentu, Saiful turut terbabit.

Namun, apabila timbul kes yang didakwa Saiful bahawa beliau diliwat Anwar. Semua staf-staf Anwar terkejut dengan dakwaan beliau.

“Sehari sebelum Saiful hilang (difahamkan tiga hari sebelum membuat laporan polis), beliau berbual-bual dengan kami tanpa menunjukkan sebarang apa-apa yang pelik berlaku.

“Beliau menyapa kami, siap dengan senyuman lagi, tetapi apabila tuduhan ini dibuat ke atas bos (Anwar), kami amat terkejut,” kata seorang staf Anwar.

Ada sumber yang rapat memberitahu Saiful dibawa untuk mendapatkan ‘rawatan akibat diliwat’ ke Pusrawi oleh Rahimi dan seorang rakan Ezam (namanya akan didedahkan kemudian).

Mereka juga dikatakan membawa Saiful ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas gagal mendapatkan ‘laporan yang memuaskan’.

“Yang sahihnya Saiful berjumpa dengan Ezam, sehari sebelum Saiful membuat laporan polis ke atas Anwar. Rakan-rakan lain juga ada, mereka tidak dibenarkan menyertai perbincangan empat mata antara Ezam dengan Saiful,” dakwa satu sumber lain.

Daripada keterangan-keterangan yang diperolehi secara berasingan melalui staf Anwar dan rakan-rakan dalam KeADILan, dapat digambarkan secara jelas bahawa, kemungkinan Ezam terbabit dalam komplot bagi merencanakan pertuduhan ke atas Anwar amat besar.

Jadi bagaimana pula Abdullah dan Khairy turut dibabitkan sama dan adakah Najib benar-benar terbabit dalam komplot ini.

Peranan Ezam-Khairy untuk mengenakan Najib?

Umum mengetahui Ezam memasuki Umno melalui Khairy dan berkawan rapat dengan kroni utama Khairy, Dato’ Norza Zakaria yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.

Kemasukan dalam Umno Ezam tidak ada kena mengena dengan Najib. Tetapi mengapa Najib terheret dalam kes ini?

Jika Ezam memasuk Umno melalui Khairy dan menghantar borang terus kepada Abdullah di Parlimen, mengapa pula dalam kes Saiful ini, Ezam menyuruh Saiful menemui Najib?

Daripada ‘appointment’ yang disetkan oleh Ezam untuk Saiful berjumpa Najib. Najib mendengar aduan Saiful. Melalui kenyataannya Najib mengakui bahawa Saiful ada berjumpa dengannya.

Persoalannya mengapa Saiful tidak dibawa Ezam untuk mengadu terus kepada Abdullah? Atau siapakah yang menyuruh Ezam mendapatkan ‘appointment’ dengan Najib? Apakah dalam plot ini, Khairy turut terbabit untuk ‘mengenakan’ Najib?

Hasil daripada ‘appointment’ yang disetkan Ezam tersebut, Najib tersepit dan dibelasah kiri dan kanan oleh Anwar dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Ada kawan-kawan media yang rapat dengan orang-orang Umno berkata, jika Najib tidak menemui Saiful (dalam ‘appointment’ yang disetkan oleh Ezam), Najib boleh ‘mencuci tangan’ dan beliau tidak perlu hendak ‘pening kepala’ dengan tekanan Anwar.

Dan, jika Khairy terbabit dalam kes ini, plot drama menjadi lebih besar. Ianya bukan sekadar pertuduhan liwat ke atas Anwar, malah ianya mengheret kepada ‘game’ pemilihan dalam pucuk pimpinan Umno menjelang Disember depan.

Semua plot-plot cerita ini menggambarkan wujud ‘permainan’ besar politik. Dan apabila Ezam yang memulakan langkah ini, apakah tidak mustahil ada ‘tangan-tangan’ utama yang mencatur ‘permainan’ ini.

Bagi orang-orang Umno, mereka mengesyaki ‘tangan’ utama yang memainkan peranan untuk mempertahankan kedudukan Abdullah, ‘menghapuskan’ Anwar dan menghalang kemaaran Najib, tidak lain tidak bukan adalah Khairy dan Norza.

Apakah Khairy dan juak-juaknya mampu melakukan tindakan politik seperti perumpamaan Inggeris ‘killing two birds with stone’?

Persoalan di sebalik hubungan Ezam-Khairy-Norza

Apakah sekarang ini Ezam turut sama terbabit menjadi pelakon utama yang turut sama terbabit dalam percaturan politik dalaman Umno?

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Ezam, jelas bahawa bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan itu mendapat pembiayaan daripada Khairy dan Norza melalui Gerak.

Ada sebahagian kenalan penulis, yang juga merupakan kroni-kroni rapat Ezam mengakui mendapat ‘laba’ yang besar daripada peruntukan yang diperolehi Ezam.

Ada yang bercerita dengan kawan-kawan, mereka hanya mendapat ‘kuah’ daripada ’setalam lauk’ yang diterima oleh Ezam. Kuah-kuah pun nilaiannya ratusan ribu ringgit, sehingga ada yang membeli kereta baru secara ‘cash’, membeli rumah dan membuat ‘renovation’ yang mahal harganya.

Jika ‘kuahpun’ nilaiannya ratusan ribu ringgit, tidakkah Ezam yang menerima ’setalam lauk’ boleh diumpamakan menerima jutaan ringgit daripada pihak-pihak berkenaan.

Itu pun ada yang mendakwa, ketika ditanya kepada Ezam adakah itu sahaja (ratusan RM) upah yang diterima oleh beberapa individu tertentu, Ezam dilaporkan sebagai berkata, “….tunggu dulu, ini baru masuk sikit, ada lagi nak masuk.”

Selain daripada itu sumber yang rapat dengan Ezam memberitahu, selepas Ezam memasuki Umno dan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Gerak, beliau digantikan oleh Mohd Nazri Yunus.

“Kalau saudara hendak tahu, Nazri ini adalah staf Inska, sebuah institut pemikiran yang dibiayai sepenuhnya oleh Norza,” dakwa seorang sumber.

Jika semua dakwaan ini betul, wah hebat betul permainan politik yang dimainkan oleh Khairy, Norza dan Ezam.

Sejauhmana dakwaan ini betul, penulis tidak dapat mempastikannya. Penulis hanya membuat analisis daripada sumber cerita daripada individu-individu berasingan, yang ditemui secara berasingan, lalu digabungjalin menjadi sebuah teori yang ada rasionalnya.

Rumusan daripada ‘permainan politik ini’ kes liwat ini sebenarnya sudah menjadi lebih besar. Bukan setakat tuduhan terhadap Anwar. Ianya mengheret kepada ‘triangle battle’ antara Abdullah – Anwar – Najib.

Sama ada Abdullah sedar tentang ‘game’ ini tidak penting. Tidak ada bezanya jika ianya membabitkan Khairy.

Namun apapun yang berlaku ketika ini, sama sekali tidak akan menjejaskan peluang Anwar untuk memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Masalah yang lebih besar dihadapi Barisan Nasional dan Umno selain daripada menghadapi Anwar ialah kecamukan politik dalaman.

Sama ada Abdullah dapat bertahan sehingga Jun 2010, sama ada Najib dapat menjadi PM sebelum itu, atau mungkin juga Anwar dapat membentuk Kerajaan Pakatan Rakyat, semuanya dicongkak dengan langkah yang amat berhati-hati dan kritikal.

www.harakahdaily.net

Blog Widget by LinkWithin

Add to Google Reader or Homepage
zinwave Wordpress Theme