Web Hosting Mampu Milik Rakyat Malaysia



SIAPA LANTIK ABDULLAH?

Posted under UMUM by admin on Saturday 2 August 2008 at 3:55 pm


Dato Seri Abdullah memihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam dalam usaha untuk menjatuhkan saya pada tahun 1986-1987. Apabila Team B kalah dan UMNO diharamkan, Dato Seri Abdullah tidak menyertai Semangat 46 tajaan Tengku Razaleigh. Sebaliknya dia pilih untuk menjadi ahli UMNO Baru yang saya pimpin.

Saya tidak berhak menolaknya sebagai ahli UMNO Baru. Tetapi saya gugurkannya daripada Jemaah Menteri.

Dalam pemilihan Majlis Tertinggi yang menyusul Dato Seri Abdullah bertanding untuk ahli Majlis Tertinggi. Mesyuarat Agong UMNO memilih Dato Seri Abdullah sebagai ahli Majlis Tertinggi.

Saya masih tidak terima dia balik jadi Menteri.

Di Mesyuarat Agong selepas itu dia bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Dia menang dengan undi kedua terbesar jumlahnya berbanding Dato Seri Najib.

Saya berpendapat UMNO hendakkan kepimpinan Dato Seri Abdullah. Walau apa pun perasaan saya terhadap orang yang bersubahat untuk jatuhkan saya, saya tidak berhak untuk menolak kehendak UMNO.

Justeru itu saya kembalikan Dato Seri Abdullah sebagai Menteri dalam Kabinet.

Puji-pujian didengar merata-rata yang Dato Seri Abdullah adalah “Bersih”, “Mr Clean”. Oleh itu apabila saya terpaksa gugurkan Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya pilih Dato Seri Abdullah untuk mengisi jawatan itu walaupun Dato Seri Najib adalah Naib Presiden yang mendapat undi tertinggi.

Kenapa tidak dipilih Dato Seri Najib?

Sebabnya ialah dia lebih muda dan harapan saya selepas satu, dua penggal sebagai Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah akan serahkan jawatan itu kepada Dato Seri Najib. Sebab itu saya berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan Dato Seri Abdullah pilih Dato Seri Najib sebagai timbalannya.

Pemilihan Naib Presiden bukan yang pertama sebagai timbalan pernah berlaku. Saya Naib Presiden yang ke-tiga tetapi Tun Hussein Onn pilih saya jadi Timbalan Perdana Menteri.

Seperti juga dengan diri saya, Mesyuarat Agong UMNO mengesahkan pemilihan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Timbalan Presiden parti dalam pemilihan yang berikut.

Selepas itu saya anggap penyerahan kuasa kepada Dato Seri Abdullah bukanlah sesuatu yang tidak dikehendaki oleh UMNO. Tidak ada sesiapa yang membantah.

Saya jelaskan latarbelakang pemilihan Dato Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya. Saya rela dihukum jika saya salah.

Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah.

Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Dato Seri Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir.

Kenyataan olehnya yang dia akan serahkan jawatan dalam parti dan Kerajaan pada bulan Jun 2010 disambut baik bahkan dengan gembira oleh hadirin serta orang ramai, Melayu dan bukan Melayu. Tiada siapa yang merayu supaya dia teruskan pimpinannya.

Dari ini agak jelas yang semua pihak hendak Dato Seri Abdullah letak jawatan. Tetapi meletak jawatan dua tahun dari sekarang bermakna penggantinya hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan parti untuk hadapi Pilihanraya Umum ke-13. Masa ini terlalu singkat kerana kerosakan yang dibuat oleh Dato Seri Abdullah kepada UMNO, Barisan Nasional dan parti-parti komponennya amat teruk. Masa yang lebih panjang diperlukan.

Jika Dato Seri Abdullah benar-benar sayang kepada UMNO, dia harus rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan UMNO. Alasannya yang dia ingin awasi pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9 tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadirannya adalah sebab UMNO dan Barisan Nasional jadi lemah.

Saya terima saya bersalah kerana memilih Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pengganti saya. Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka “Mr Clean” tidak begitu clean.

Saya percaya ahli UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama.

Hari ini yang berkuasa menggantikan Dato Seri Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Janganlah tunggu Pilihanraya Umum ke-13 untuk kalahkan BN dan UMNO supaya Dato Seri Abdullah jatuh. Yang salah bukan BN atau UMNO. Yang salah ialah Dato Seri Abdullah.

Jika ahli UMNO hendak melihat UMNO dan BN dipulih semula, paksalah Dato Seri Abdullah letak jawatan sekarang. Jangan calon Dato Seri Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian.

Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Dato Seri Abdullah terus menjadi Presiden UMNO, yang salah ialah ahli UMNO sendiri.

Ahli UMNO akan bertanggungjawab terhadap kehancuran UMNO dan malapetaka yang akan timpa orang Melayu dan negara Malaysia. Yang akan hancur bersama ialah parti-parti komponen BN.

Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa UMNO dan BN di bawah kepimpinan Dato Seri Abdullah, UMNO masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri.


TIKET UNTUK ANWAR KE PUTRAJAYA

Posted under UMUM by admin on Saturday 2 August 2008 at 3:51 pm


Dato’ Seri Anwar Ibrahim kembali ke Permatang Pauh. Permatang Pauh adalah kerusi tradisi milik Anwar dan keluarganya yang diwakili selama lebih 25 tahun mulai 1982 sehingga 2008.

Anwar menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh selama 16 tahun mulai 1982 sehingga 1999. Kerusi tersebut yang terpaksa dilepaskannya akibat dipecat, didakwa dan dimalukan oleh kerajaan Barisan Nasional pimpinan Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) ketika itu.

Kerusi tersebut terus diwakili isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejak 1999 hingga semalam (31 Julai 2008).

Kerusi Permatang Pauh tidak dikosongkan hanya semata-mata untuk menunjukkan kasih sayang seorang isteri kepada suami.

Ke mana sahaja Wan Azizah pergi dan memegang jawatan sama ada Ahli Parlimen atau Presiden parti, rakyat tetap beranggapan atau mempunyai persepsi bahawa beliau adalah proksi Anwar.

Memang pun! Kerusi parlimen Permatang Pauh sememangnya kerusi milik Anwar. Wan Azizah menggantikannya seketika, sementara Anwar disekat undang-undang untuk bertanding dalam pilihan raya.

Juga sebagai presiden parti, rakyat tetap beranggapan bahawa Anwar adalah presiden sebenarnya, Wan Azizah hanya sebagai nominee. Sebab itu Anwar digelar Ketua Umum KeADILan atau de facto leader.

Parti KeADILan Rakyat, yang sebelum ini dikenali sebagai Parti KeADILan Nasional ditubuhkan kerana Anwar Ibrahim. Untuk memperjuangkan keadilan, cetusan daripada kezaliman melampau yang ditimpakan BN ke atas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1998.

Dan, Wan Azizah dipilih sebagai presiden parti kerana beliau adalah isteri kepada Anwar, Anwar sebenarnya yang menjadi ikon reformasi politik dalam negara.

Kesediaan Wan Azizah melepaskan jawatan sudah lama. Selama 16 tahun Anwar dalam Umno dan kerajaan (1982 – 1998) Wan Azizah tidak mencampuri urusan politik. Beliau adalah suri rumah sepenuh masa.

Dalam tempoh sepuluh tahun, seorang suri rumah yang tidak mencampuri urusan politik, terpaksa mengetuai parti politik, terbabit dalam perancangan politik bagi menggantikan suami yang terpenjara selama enam tahun (1998 – 2004) dan empat tahun dihalang untuk bertanding.

Tugas Wan Azizah selama sepuluh tahun ini bukannya mudah, mengambil alih peranan Anwar bukannya mudah, justeru keputusannya berundur sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang, harus dihormati.

Laluan mudah untuk Anwar ke Parlimen

Sebelum ini memang ada pertimbangan untuk Anwar bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dan Gombak kerana penyandangnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali sedia memberi laluan.

Manakala kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang diwakili peguam Zulkifli Noordin yang menghadapi petisyen pilihan raya, sedang menunggu keputusan mahkamah dna dijangka diputuskan 11 Ogos depan.

Jika mengikut trend sokongan rakyat, walaupun mungkin boleh wujud manipulasi BN bagi Bandar Tun Razak, Gombak atau Kulim-Bandar Baharu, Anwar dijangka tidak akan melalui jalan yang sukar untuk memenanginya.

Bagaimanapun, jalan terbaik untuk Anwar ialah kembali ke kerusi tradisi yang diwakili beliau dan keluarga sejak 25 tahun yang lalu.

Anwar mula mewakili Permatang Pauh pada tahun 1982 menewaskan calon PAS, Zabidi Ali (14,352 majoriti), 1986 menewaskan Mohamad Sabu (10,479 majoriti), 1990 mengalahkan Mahfuz Omar (16,150) dan 1995 menewaskan calon DAP, Abdul Rahman Manap dengan 23,515 majoriti.

Pada tahun 1999, Wan Azizah menang dengan majoriti 9077 menewaskan bekas Setiausaha Politik Anwar, Dato’ Dr Ibrahim Saad, dikatakan kerana undi simpati terhadap Anwar. Pada 2004 kerusi Permatang Pauh dikekalkan dengan majoriti yang kecil (590 undi) dengan menewaskan bekas Imam Besar Masjid Negara, Dato’ Pirdaus Ismail.

2008 menyaksikan Wan Azizah mengekalkan kerusinya dengan majoriti lebih besar iaitu 13,388.

Banyak sumber-sumber dalam Umno sendiri yang mengakui bahawa orang-orang Umno tetap mengundi Wan Azizah kerana Anwar, sebagai penolakan terhadap keputusan pucuk kepimpinan Umno yang memecat Anwar.

Ketika Anwar dipecat (1998), beliau bukan sahaja TPM dan Menteri Kewangan. Anwar ketika itu juga adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh.

Justeru dengan sokongan padu rakyat dari kalangan pelbagai kaum, beserta dengan penyokong tegar Anwar dalam Umno, Anwar dijangka akan memenangi kerusi Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil nanti dengan mudah, serta pertambahan majoriti lebih besar.

Anwar adalah masalah besar bagi Umno/BN

Masalahnya bagi Umno/BN mereka terpaksa berhadapan dengan tekanan politik yang amat besar dan sukar jika Anwar kembali ke Parlimen.

Umno/BN sedar, jika Anwar menang kerusi Permatang Pauh, Anwar akan menggantikan Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Mereka juga amat menyedari apabila Anwar bertanding pilihan raya, masuk ke Parlimen, bukan semata-mata hendak menjadi Ketua Pembangkang. Hasratnya jelas, iaitu, berusaha mengambil alih kerajaan Pusat sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 6!

Sebagai pemimpin utama Pakatan Rakyat, Anwar sudah mengumumkan bahawa tarikh 16 September 2008 adalah ‘deadline’ utama pembentukan kerajaan baru. Mungkin akibat daripada pelbagai tekanan politik, khususnya isu tuduhan liwat terhadap Anwar, ‘deadline’ tersebut akan teranjak sedikit.

Barangkali ketika pengumuman yang dibuat Anwar tiga bulan lalu, pemimpin Umno/BN kurang gusar, kerana Anwar bukan Ahli Parlimen, untuk menjadi PM, Anwar harus menjadi wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya.

Dengan kemenangan Anwar di Permatang Pauh nanti, beliau bukan setakat Ahli Parlimen atau Ketua Pembangkang sahaja, malah jalan ke Putrajaya sudah terbuka luas di hadapan beliau.

Jika di luar Parlimen agak sukar bagi Anwar untuk berjumpa, berunding serta bermuqabalah dengan mana-mana wakil rakyat BN yang berminat untuk berhijrah menyertai Pakatan Rakyat.

Maka, sebaik sahaja Anwar menjejakkan kali ke Parlimen sebagai Ahli Dewan Rakyat dan duduk di kerusi Ketua Pembangkang di Parlimen, rakan-rakan yang berada di blok kerajaan, akan menjadi seumpama ‘cacing kepanasan.’

Tidak boleh dibayangkan ketika itu wajah-wajah seperti Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak akan berubah ‘merah padam’ macam ‘cacing kepanasan’.

Oleh itu usaha-usaha untuk menyekat Anwar dijangka akan berterusan. Walaupun ada jaminan daripada PM Abdullah, tidak akan wujud sebarang konspirasi untuk ‘mengenakan’ Anwar, rakyat masih sukar mempercayainya.

Isu yang besar di sebalik usaha untuk menyekat Anwar kembali ke Parlimen adalah, bagaimana BN hendak mengekalkan kuasanya dalam sebulan dua ini.

Justeru tidak mustahil dalam keadaan yang tertekan sedemikian rupa, tindakan luar jangka bagi menyelamatkan kepentingan politik kelompok tertentu, boleh mengatasi jaminan keselamatan dan keadilan terhadap Anwar.

Faktor teras mengapa Anwar dipercayai rakyat

Menjadi masalah yang besar kepada BN juga ialah, apa sahaja yang tindakan yang diambil terhadap Anwar dan Pakatan Rakyat sudah tidak dipercayai rakyat.

Bukan sahaja BN. Rakyat juga sukar untuk mempercayai polis dan kehakiman. Persepsi ini seolah-olahnya sudah sebati dengan rakyat.

Hakikat sebenarnya, BN, Umno dan Abdullah Badawi sedang menghadapi krisis kepercayaan rakyat, bukan setakat dari penyokong Pakatan Rakyat sahaja, malah dari parti komponen BN sendiri.

Sehingga kini, selepas Dr Mahathir (yang sebelum ini turut dipertikaikan rakyat), belum ada mana-mana pemimpin Umno yang mendapat sokongan dari rakyat berbilang kaum.

Seburuk-buruk zaman Dr Mahathir, BN hanya hilang dua negeri, tetapi zaman Abdullah kini, BN tewas enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Abdullah, BN dan Umno sedang mengalami krisis kepercayaan daripada pelbagai kaum sama ada Melayu, Cina, India, Sikh, Melanau, Iban, Kadazan, Dusun dan sebagainya.

Sebab itu wujud fenomena baru pasca PRU ke 12, iaitu rakyat dari kalangan pelbagai kaum, sudah meletakkan keyakinan dan kepercayaan ini kepada Anwar Ibrahim.

Faktor terasnya ialah kepercayaan terhadap Anwar. Rakyat yang menolak BN, yakin bahawa Anwar adalah faktor perpaduan, penyatuan (unifying factor) bagi rakyat pelbagai kaum, yang dilihat tidak stabil dan berkecamuk di negara ini.

Pengiktirafan atau recognition seumpama ini sukar diperolehi mana-mana pemimpin. Pemimpin tersebut harus mempunyai karisma dan diyakini rakyat.

Faktor utama kepada kesimbangan politik dalam negara ialah perpaduan kaum yang terdiri daripada pelbagai etnik dalam negara.

Kunci atau key kepada perpaduan kaum, buat masa ini hanya pada Anwar, lain-lain pemimpin politik bukan tidak berkarisma, tetapi tidak sampai ke tahap sebagaimana Anwar.

Key unity factor ini boleh dilihat dengan jelas apabila ramai pemimpin BN, sama ada dari Umno, MCA, MIC, Gerakan, PBB, SUPP, SAPP, PBS, UPKO dan sebagainya, selesa berunding dan berbicara dengan Anwar.

Jaminan transaksi kuasa yang aman dan stabil

Anwar Ibrahim memberikan komitmen yang jelas bahawa beliau akan berusaha membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Anwar sudah meletakkan sasarannya. Tetapi memberi jaminan bahawa beliau tidak akan gelojoh, kerana tidak mahu dilabel sebagai ’street-fighter’ atau pemimpin demonstrasi jalanan, yang dianggap boleh mencetuskan elemen ganas.

Pada Anwar, sebarang transaksi kuasa harus berjalan dengan lancar atau ’smooth transfer’, kerana Anwar mahu Malaysia mencatatkan transformasi kerajaan dengan sejarahnya yang tersendiri, tanpa sebarang kekecohan atau pertumpahan darah, ‘no arrest, no assassination.’

Anwar tidak mahu memalit sejarah negara sama seperti kejatuhan Ferdinand Marcos di Filipina yang tumbang akibat pembunuhan Benigno Aquino.

Anwar juga tidak mahu kerajaan BN jatuh sebagaimana jatuhnya Presiden Suharto di Indonesia, selepas ramai mahasiswa terkorban semasa mendesak dilakukan demokrasi dalam negara.

Peralihan kuasa akan dibuat dengan jaminan keadilan dan kestabilan dengan membawa harapan baru kepada rakyat Malaysia.

Harapan ini melampaui batasan parti dan bangsa. Jika BN mengamalkan dasar, Umno selesaikan masalah kaum Melayu, MCA uruskan masalah kaum Cina dan MIC atasi masalah kaum India, tetapi tidak Pakatan Rakyat.

Anwar sudah memberi jaminan bahawa beliau adalah orang Melayu/ Islam yang tetap akan mempertahankan kepentingan bangsa dan agamanya sendiri.

Malah lebih baik daripada itu Anwar berkata, “saya adalah orang Melayu, tetapi masalah kaum Cina, India dan sebagainya adalah masalah saya juga, yang saya akan sedaya upaya selesaikan.”

Justeru politik pasca baru ini, merentasi sempadan bangsa dan agama adalah sistem politik alaf baru yang sedang ditunggu-tunggu rakyat sekarang.

Apa yang penting, semua pihak harus memberikan kerjasama sebaiknya, menjayakan hasrat pembentukan kerajaan Pakatan Rakyat, dengan jaminan keadilan, kesaksamaan dan kestabilan. _


UMNO hancur – Rafidah Aziz

Posted under UMUM by admin on Saturday 2 August 2008 at 3:49 pm


Ketua Wanita Umno berkata, politik yang berlaku di peringkat bahagian dalam pemilihan jawatan sekarang akan menyebabkan parti itu hancur.

Tan Sri Rafidah Aziz berkata, beliau sudah mendapat bukti bahawa politik wang banyak berlaku termasuk di kalangan pemimpin Wanita Umno sendiri.

“Saya sedih… Saya sudah 42 tahun dalam politik, belum ada etika pertandingan dalam Umno. Sekarang sudah ada etika, seolah-olah kita perlu diajar.

“Dulu baik-baik tetapi akhir-akhir ini baru saya dengar (ada etika), tetapi kita kena buat kerana sudah ada yang berlaku,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Ia dihadiri oleh 19 exco pergerakan itu. Bagaimanapun, naib ketua Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak hadir kerana, menurut Rafidah, beliau tidak sihat.

Rafidah, yang juga bekas menteri kabinet berkata, kalau memberi sogokan untuk menjadi pemimpin itu bermakna tidak ada keikhlasan.

Beliau berkata, budaya Umno sudah mula berubah sehingga terpaksa menubuhkan lembaga disiplin parti.

“Dalam suasana kita kata jangan membabitkan politik wang ia berlaku juga.

“Dan wanita juga terlibat kerana kita mendapat laporan mengenai perkara tersebut,” katanya.

Rafidah berkata, kalau kita hendak berkhidmat apa guna perlu membayar untuk mendapatkan jawatan.

“Dahulu kita membayar tambang sendiri, nak hotel pandai-pandai, duduk rumah kawan,” katanya.

Katanya, sehubungan itu beliau mengingatkan jika berlaku pertandingan di peringkat bahagian supaya bertanding secara berhemah dan jangan sampai berlaku perpecahan.

“Saya mendapat tahu mereka bertanding sesama sendiri – (pemimpin) Wanita lawan Wanita dan Wanita lawan Puteri – tetapi jangan sampai berpecah-belah.

“Kekuatan kita adalah di akar umbi iaitu cawangan dan bahagian. Jangan sampai menang sorak tetapi kampung tergadai,” katanya.

Rafidah juga menegaskan beliau melarang pemimpin pergerakan itu membuat kenyataan melulu secara terbuka.

Blog Widget by LinkWithin

Add to Google Reader or Homepage
zinwave Wordpress Theme